SAUDARA PENGARANG,
SEBUAH akhbar tempatan mendedahkan berlaku pencemaran najis ternakan babi sepanjang satu kilometer pantai Gertak Sanggul, Balik Pulau, Pulang Pinang sehingga menjejaskan hidupan laut.
Ini bukan kali pertama masalah sisa buangan haiwan ternakan memusnahkan kebersihan sungai dan pantai tetapi pihak berkuasa masih ‘menutup sebelah mata’.
Bukan sahaja menjejaskan kualiti air, sisa buangan itu akan menggalakkan pertumbuhan alga serta kuman seperti bakteria Salmonella, E. coli dan virus Hepatitis A.
Lebih teruk daripada itu, hidupan laut khususnya kerang, udang, ketam dan sebagainya akan memakan najis babi itu dan boleh menyebarkan penyakit kepada manusia.
Sampaikan nelayan pun terpaksa membasuh bot dengan air bercampur najis kerana kawasan teluk itu terlindung daripada arus terbuka air laut. Ini menyebabkan sesetengah nelayan mula mengalami gatal-gatal kulit.
Masalah najis babi pernah menjejaskan Pulau Pinang dengan teruk dahulu sehinggakan ladang-ladang ternakan terpaksa disusun semula. Sungguh tidak disangka masalah pencemaran najis babi berulang.
Kerajaan negeri perlu segera menyelesaikan masalah ini bukan sahaja demi kebersihan alam sekitar malah keselamatan dan kesihatan orang ramai termasuk pelancong yang menikmati hidangan makanan laut di kawasan pantai tersebut.
Jika pentadbiran negeri gagal menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera, Kerajaan Pusat khususnya Jabatan Alam Sekitar perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik ladang ternakan khususnya jika berlaku pelanggaran syarat dan lesen.
MAMU
Pulau Pinang










