KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir ke Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Beliau hadir kira-kira pukul 9.20 pagi bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Semalam, Najib telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.
Dalam satu kenyataan akhbar, SPRM memaklumkan beliau ditahan pada pukul 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
“Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok (hari ini) pukul 3 petang untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Najib menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah AMLA 2001 dan empat lagi pertuduhan pindaan berhubung RM42 juta dana SRC International dalam akaun peribadinya.
Tiga deposit masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, didepositkan ke dalam akaun peribadi milik Najib antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015. – K! ONLINE










