PASIR MAS 26 Sept – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang membangunkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berkaitan pengurusan bencana di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarah Perlaksanaan Operasi Nadma, Datuk Azizan berkata, SOP itu bertujuan melancarkan lagi kerja-kerja menyelamat dan aspek pengurusan sekiranya berlaku bencana di kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Dengan adanya SOP ini saya yakin dan percaya Malaysia dan Thailand dapat menggerakkan aset-aset penyelamat secara bersama.
“Ini secara tidak langsung akan melancarkan lagi pengurusan bencana di kawasan sempadan kedua-dua negara,” katanya selepas meninjau Program Latihan Amali Bencana Antara Kelantan dan Narathiwat (Thailand) di Tasik Danau Tok Uban, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pencegahan dan Pengurangan Bencana Serantau Wilayah 12 Songkhla, Leftenan Trakul Tho Tham.
Azizan dalam pada itu memberitahu, latihan bersama tersebut berjalan lancar dan diharap dapat memperkukuhkan kerjasama Malaysia dengan Thailand dalam aspek pengurusan bencana. -UTUSAN ONLINE











