BEIJING 29 Sept. – Bekas pemain tenis No. 1 dunia Andy Murray terpaksa menarik diri daripada Terbuka China selepas mengalami kecederaan di buku lali ketika bermain dalam peringkat suku akhir Terbuka Shenzhen.
Pemain berusia 31 tahun itu, yang bergelut dengan masalah prestasi serta tahap kecergasannya selepas dia menjalani pembedahan di bahagian pinggul, berkata dia memohon maaf kerana tidak dapat menyertai Terbuka China.
Kejohanan itu yang akan bermula pada hujung minggu ini menerima tamparan hebat apabila beberapa pemain ternama seperti Rafael Nadal, Roger Federer dan Serena Williams turut menarik diri.
Pemain No. tiga dunia Novak Djokovic turut tidak beraksi walaupun ditawarkan wildcard.
Murray, yang kini menduduki anak tangga ke-311 dunia, sebelum ini berkata Beijing bakal menjadi destinasi terakhirnya pada musim ini kerana dia perlu merancang jadualnya selepas dia baharu sahaja menjalani pembedahan.
“Saya memohon maaf kerana terpaksa menarik diri daripada Terbuka China. Jujurnya saya tidak sabar untuk kembali beraksi di Beijing kerana saya pernah menjuarai Terbuka China dua tahun lalu.
“Buku lali saya cedera ketika beraksi di Shenzhen semalam dan tidak mungkin saya dapat beraksi,” katanya. – AFP











