Muhammad Ummar Zayyan alami masalah mata, telinga - Utusan Malaysia

Muhammad Ummar Zayyan alami masalah mata, telinga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 11 Sept. – Bayi empat bulan, Muhammad Ummar Zayyan Haikal Hafiz yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sini bulan lalu, berkemungkinan menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, doktor mengesahkan perkara tersebut ketika membenarkan anak tunggalnya itu dibawa keluar dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Khamis lalu.

“Doktor mengesahkan anak saya mengalami sedikit pendarahan di bahagian mata yang menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan.

“Selain itu, ujian pendengaran yang dijalankan doktor juga mengesan Muhammad Ummar Zayyan mengalami masalah pendengaran dan rawatan lanjut akan dilakukan selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zura Emilia berkata, anak tunggalnya itu kini tidak lagi memerlukan mesin bantuan pernafasan dan boleh menyusu seperti biasa namun pergerakannya masih lemah.

Katanya, Muhammad Ummar Zayyan kurang aktif berbanding dulu dan tidak lagi memberi re­aksi kepada bunyi di sekelilingnya.

“Saya memohon agar rakyat Malaysia akan terus mendoakan anak saya kembali sihat dan normal seperti kanak-kanak lain.

“Saya juga berharap kes Muhammad Ummar Zayyan mendapat pengadilan sewajarnya dan jika terbukti pesalah melakukan semua ini, dia mesti dihukum dengan setimpal atas perbuatannya kerana ini melibatkan masa depan anak saya,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Ummar Zay­yan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian yang menimpa bayi itu tular dalam media sosial selain mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk mengecam pe­ngasuh terbabit.

Wanita berumur 23 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada 30 Ogos lalu dan tarikh sebutan semula kes pada 1 Oktober hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN