IPOH 12 Sept. – Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik saranan ‘Mat Sport’ agar Sukan Malaysia (Sukma) dapat dijadikan sebagai medan kelayakan menyertai kejohanan sukan-sukan peringkat kebangsaan dalam usaha meningkatkan prestij temasya itu.

Ruangan Mat Sport mencadangkan kepada MSN agar menyarankan setiap persatuan sukan kebangsaan meletakkan had kelayakan untuk menyertai setiap kejohanan peringkat kebangsaan dan menjadikan Sukma sebagai medan untuk atlet melayakkan diri.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan itu dan turut mendedahkan pihaknya juga telah mempunyai idea tersendiri bagi memastikan persatuan sukan kebangsaan lebih aktif menganjurkan pertandingan.
Tambah Ahmad Shapawi, pihak persatuan sukan kebangsaan juga seharusnya memikirkan cara terbaik untuk meningkatkan kualiti atlet mereka dengan memperbanyakkan kejohanan terutama melibatkan remaja.
“Dalam situasi ini, pihak persatuan sukan kebangsaan harus mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan peluang buat atlet-atlet negeri mereka bertanding dalam kejohanan peringkat kebangsaan.
“Saya turut berpendapat Sukma jangan sekadar dijadikan medan kelayakan sahaja tetapi persatuan sukan kebangsaan juga harus memainkan peranan untuk menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan dan remaja kebangsaan mereka setiap tahun juga.
“Bagi saya sendiri jika persatuan sukan kebangsaan dapat menganjurkan pertandingan melibatkan sukan masing-masing sebagai kelayakan menyertai Sukma maka itu juga amat baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.









