PUTRAJAYA 27 Sept.- Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Mohd. Nageeb Abdul Wahab sebagai Pengerusi Felcra Berhad yang baharu berkuatkuasa pada 1 Oktober ini.
Pejabat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meletakkan jawatan pada 1 Jun lalu.
“Mohd. Nageeb mempunyai pengalaman selama 39 tahun dalam bidang perladangan, industri getah dan sawit.
“Antara jawatan yang pernah dipegang adalah Naib Presiden Kanan dan Ketua Perladangan Malaysia di Sime Darby Plantation Berhad. Beliau memulakan karier sebagai pelatih eksekutif perladangan di KL Kepong Berhad pada 1979,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan menambah, Mohd. Nageeb kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Palm Oil Association (MPOA) dan merupakan wakil Malaysia di dalam International Tripartite Rubber Council (ITRC). – UTUSAN ONLINE










