LONDON – Seorang inovator British terkenal, Sir James Dyson, menunjukkan minat untuk membawa pelaburan baharu ke Malaysia dan meningkatkan tahap kebolehan jurutera Malaysia melalui pelaburannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mahathir berkata, Dyson yang sudah mempunyai pelaburan di Malaysia dengan kemudahannya terletak di Johor menggunakan jumlah jurutera yang ramai.
“Kalau dia (Dyson) teruskan pelaburan di Malaysia, kita dapat kurangkan jumlah penganggur yang belajar ke peringkat PhD (doktor falsafah),” katanya yang ditemui selepas melawat Imperial College London di sini semalam.
Mahathir sempat bertemu Dyson iaitu bilionair British yang mencipta pembersih vakum tanpa beg di universiti terkemuka itu dan menunjukkan minat untuk membawa pelaburan baharu ke Malaysia.
Mahathir berkata, kerajaan akan berusaha menukar dasar yang ‘menyekat’ supaya Dyson lebih tertarik untuk melabur di Malaysia.
“Kita akan (pujuk dia untuk terus melabur),” katanya.










