PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya pihak Sepang International Circuit (SIC) melantik komuniti berpengalaman dalam sukan permotoran sebagai anggota lembaga bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi industri itu.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan ini bagi memudahkan pelaksanaan proses pembangunan sukan permotoran daripada semua peringkat termasuk masalah peruntukan yang diperlukan.
“Cadangan terbaik adalah mewujudkan komuniti atau perwakilan (permotoran) dalam SIC sebagai anggota lembaga supaya akan ada struktur tersendiri untuk membantu mereka yang terlibat dalam industri ini,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kejuaraan Mini Cub Prix KBS 2018, di sini hari ini.
Menurut Syed Saddiq, beliau mencadangkan untuk mendengar segala maklumbalas dan pandangan daripada orang awam khususnya komuniti permotoron dalam membangunkan sukan permotoran tempatan pada sesi townhall yang dijangka diadakan 2 Okt akan datang.
“Saya di sini sebagai jabatan. Saya dengar dan laksanakan apa yang orang ramai mahu. Saya (dan pihak KBS) akan cuba sebaik mungkin untuk membantu,” katanya. – Bernama










