KUALA LUMPUR – Kira-kira 10 petugas media Indonesia hadir ke Masjid Jamek Kampung Baru di sini bagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra dipanggil Pak Ngah.
Antara yang ditemui, Penerbit Program Liga Dangdut Asia, Ekin Gabriel turut hadir ke Malaysia dan melahirkan rasa dukacita terhadap perkhabaran sedih itu.
“Allahyarham merupakan seorang yang mudah mesra dan senang untuk bekerjasama. Beliau seorang yang bersemangat dalam memperjuangan muzik nusantara terutama dalam kalangan generasi muda.
“Ramai pelapis muda yang lahir hasil bantuan Pak Ngah malah karya beliau juga kerap diputarkan di Indonesia. Pastinya ini merupakan satu kehilangan besar,” jelasnya ketika ditemui hari ini.
Pak Ngah yang juga menggalas tanggungjawab sebagai pengkritik program nyanyian popular Indonesia D’Academy Asia yang kini dikenali sebagai Liga Dangdut Asia sejak tahun 2015.
Allahyarham meninggal dunia di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Batam, Indonesia akibat komplikasi jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada pukul 5.20 petang. – K! ONLINE











