Usaha-usaha Malaysia mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum atau bangsa sejak berdekad lalu wajar dibanggakan dan dijadikan teladan untuk negara-negara lain termasuk Britain yang kini makin menjadi negara berbilang budaya.
Malah, reputasinya yang kuat dalam menyatukan pelbagai masyarakat hidup aman menjadikan Malaysia amat istimewa dan rakyatnya perlu terus mempertahankan keharmonian, semangat tolak-ansur dan sifat saling memahami antara satu sama lain.
Selain memiliki masyarakat berbilang bangsa, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, mampu menonjolkan kesederhanaan yang dianjurkan dalam beragama apabila membenarkan penganut-penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Hakikat ini menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell menyifatkan Malaysia mempunyai keunikan yang perlu dibanggakan dan dipelihara sebagai model kepada negara-negara lain di dunia.
Sebagai seorang warga asing yang pernah dibesarkan di Ipoh, Treadell juga amat meminati makanan tempatan Malaysia seperti sate dan char kuey teow yang pada pandangannya keenakannya tidak mungkin sama meskipun boleh ditemui di luar negara.
“Kedua-dua hidangan ini merupakan makanan kegemaran saya, bahkan saya pernah mencuba memasaknya di rumah tetapi ia tidak sama seperti yang dijual di Malaysia,” katanya ketika berkongsi pengalaman tentang makanan yang amat digemarinya di Malaysia.
Treadell juga berkata, sejak bertukar ke Malaysia empat tahun lalu, beliau memerhati dengan teliti perkembangan politik terkini di Malaysia, terutamanya keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang disifatkan sebagai perkara di luar dugaan.
Beliau berkata, kesemua rakyat Malaysia perlu berasa bangga kerana mereka bebas mengamalkan hak demokrasi masing-masing iaitu boleh mengundi tanpa paksaan manakala proses peralihan kerajaan juga lancar seperti mana dikehendaki rakyat dan pihak berkuasa.
“Saya percaya (apa yang berlaku) merupakan detik bersejarah buat Malaysia kerana selepas 61 tahun, sebuah kerajaan yang dianggap kukuh tumbang, menunjukkan bahawa rakyatnya mengamalkan proses demokrasi. Ini akan menjadi detik bersejarah dalam politik Malaysia.
“Kemenangan kerajaan Pakatan Harapan merupakan permulaan yang indah bagi Malaysia baharu dan menjanji banyak harapan dan negara seperti Britain sudah tentu mahu bekerjasama rapat selain mengukuhkan kerjasama yang sedia ada,” kata beliau.
Treadell berkata, meskipun Perdana Menteri yang baharu dilantik, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melaksanakan dasar ‘Buy British Last’ ketika menerajui Malaysia pada satu dahulu tetapi ia tidak pernah merencatkan hubungan antara Kuala Lumpur-London yang disifatkannya semakin baik.
Pesuruhjaya Tinggi itu berkata, perdagangan dua hala antara Malaysia-Britain melibatkan barangan dan perkhidmatan berjumlah 4.6 bilion pound (RM24.5 bilion) tahun lalu.
Meskipun jumlahnya memperlihatkan sedikit penurunan, tetapi usaha dilakukan untuk memastikan jumlah perdagangan itu ditingkatkan dengan menumpukan kepada beberapa sektor utama pelaburan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur yang memberi manfaat bersama, kata beliau.
Treadell menambah, berikutan Brexit iaitu tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), negara pulau itu tidak lagi tertakluk kepada sekatan sekali gus bakal merancakkan perdagangan dengan Malaysia menerusi perjanjian bebas perdagangan dua hala Malaysia-Britain.
“Kami juga meneliti untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan akan meminta sokongan Malaysia yang telah menyertai perjanjian itu bila masanya tiba,” kata Treadell.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tinggi berharap hubungan Kuala Lumpur-London akan terus kukuh dan bukan sahaja diperluaskan malah kedua-dua negara akan mewujudkan pelan utama seperti pendidikan dan juga usaha sama lain yang akan dipertingkatkan.
Beliau menegaskan, hubungan kedua-dua negara bukanlah untuk jangka pendek kerana kami sudah berada di sini (ketika Malaya di bawah jajahan British) untuk satu tempoh masa yang lama dan kami akan terus berada di sini untuk tempoh jangka masa yang panjang.
“Lebih lama kami di sini, lebih erat usaha sama dilakukan dalam isu melibatkan pertahanan, keselamatan dan perniagaan sambil turut melibatkan rakyat terhadap perkara yang dekat dengan mereka. Ini adalah bagaimana kami membina hubungan kami atas dasar masa silam dan sejarah selain juga membentuk hubungan yang lebih baik pada masa hadapan,” tambah beliau lagi.










