SOLNA, Sweden – Pemain tengah Galatasaray, Emre Akbaba muncul wira Turki yang melakukan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Sweden 3-2 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Friends Arena awal pagi semalam.
Akbaba, 25, masuk sebagai pemain gantian menggantikan Mehmet Topal pada minit ke-62 berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit (m-88, m-92) sebelum perlawanan itu tamat sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Turki.
Ia merupakan jaringan ketiga pemain berdarah campuran Perancis-Turki itu dalam enam perlawanan antarabangsa buat dirinya sejak membuat debut pertama bersama Turki sewaktu meledak satu gol dalam kekalahan 2-3 kepada Albania pada November 2017.
“Walaupun kami bermain baik dalam babak pertama tetapi kami berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Sweden.
“Kami sudah ‘kalah’ kepada Sweden sewaktu saya dimasukkan tetapi saya tetap memiliki keinginan untuk mengubah keputusan perlawanan itu.
“Hasrat itu berjaya tercapai apabila dua gol jaringan saya pada lewat permainan membantu Turki bangkit memenangi perlawanan ke atas Sweden,” kata Akbaba.
Skuad kendalian Mircea Lucescu itu terlebih dahulu ketinggalan dua gol kepada Sweden menerusi jaringan Viktor Claesson dan Isaac Kiese Thelin masing-masing pada minit ke-35 serta 49.
Gol daripada Hakan Calhanoglu pada minit ke-51 kembali menghidupkan peluang buat Turki sebelum bangkit memenangi perlawanan itu menerusi dua jaringan Akbaba. – Agensi










