BUKIT MERTAJAM 27 Sept. – Seorang lelaki ditahan kerana melakukan pemerasan untuk mendapatkan wang daripada rakannya yang telah dikenali sejak 10 tahun lalu di sebuah pusat hiburan di Icon City dekat sini Selasa lalu.
Mangsa yang berusia 31 tahun yang bekerja sebagai DJ di pusat hiburan itu sebelum itu bertemu suspek di Taman Bukit Limau Manis dan dibawa ke tempat kerjanya pada pukul 2.30 petang sebelum suspek memaksa mangsa meminjam wang sebanyak RM30,000 daripada bapa mangsa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu mendakwa bapa mansga ada berhutang dengannya dan memaksa mangsa menghubungi bapanya namun secara senayp-senyap mangsa menghubungi pihak polis.
“Pengadu dan suspek saling mengenali lebih 10 tahun dan pengadu pernah berjanji untuk memberikan sejumlah wang kepada suspek sekiranya perniagaan pelaburannya berjaya dan apabila menyedari mangsa mungkir janji, suspek menjadi marah dan mengugut mangsa.
“Suspek memaksa mangsa meminjam duit RM30,000 daripada bapanya namun mangsa secara rahsia menghubungi pihak polis yang kemudian datang menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang berusia 19 tahun di pusat hiburan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nik Ros Azhan, polis kemudian merampas dua unit telefon bimbit milik suspek sebagai bahan kes serta merakam percakapan saksi yang berada di lokasi kejadian.
Jelasnya, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan manakala rakannya dijadikan saksi pendakwaan.- UTUSAN ONLINE











