Lagi peniaga arak beracun ditahan - Utusan Malaysia

Lagi peniaga arak beracun ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH – Polis menahan seorang lagi lelaki berhubung operasi penjualan arak beracun di sebuah premis dekat Seksyen U5, Bandar Suria, Kampung Baru Subang di sini pada 24 September lalu.

Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan S. Somu berkata, lelaki berkenaan yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai merupakan pemilik premis yang menjual arak beracun tersebut.

“Sebanyak 435 botol arak pelbagai jenis dan kuantiti dirampas dari premis lelaki berkenaan yang beroperasi di belakang sebuah kedai serbaneka.

“Berdasarkan risikan yang dilakukan, kami percaya premis berkenaan telah beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan secara bersembunyi dan hanya berurusan dengan pelanggan yang dikenali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini hari ini.

Menurut Somu, serbuan ke atas premis tersebut merupakan salah satu daripada 11 serbuan yang dilakukan pihaknya di sekitar kawasan Sungai Buloh.

“Daripada 11 serbuan yang dilakukan, lima serbuan telah berjaya dan dua individu ditahan manakala sebanyak 836 botol arak pelbagai jenama telah dirampas dan akan dihantar je Jabatan Kimia untuk menganalisis kandungannya.

“Kebanyakan premis yang diserbu juga didapati telah dikosongkan dipercayai setelah beberapa laporan kematian melibatkan peminum arak jenama tersebut menjadi tular,” ujar beliau.

Tambah Somu, pada 18 September lalu, seorang wanita warga Myanmar turut ditahan kerana menjalankan perniagaan menjual arak beracun di kawasan sama dan polis telah merampas sebanyak 190 botol arak pelbagai jenama.

“Wanita warga Myanmar serta lelaki tempatan berkenaan kini direman sehingga 1 dan 2 Oktober depan dan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1997.

“IPD Sungai Buloh memberi amaran kepada mana-mana pemilik premis yang menjual arak tanpa lesen sah agar berhenti berbuat demikian dan kami akan mengambil tindakan termasuk melakukan serbuan setiap hari,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN