JALALABAD, Afghanistan – Angka korban akibat serangan bunuh diri menyasarkan penunjuk perasaan di Afghanistan meningkat kepada 68 orang, kata pihak berkuasa semalam ketika keganasan merebak ke seluruh negara.
Pengeboman di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan kelmarin adalah yang terbaharu dalam gelombang serangan oleh pemberontak yang telah meragut beratus-ratus nyawa orang awam dan anggota pasukan keselamatan di Afghanistan.
Letupan itu juga mencederakan 165 orang, kata jurucakap gabenor wilayah Nangarhar, Ataullah Khogyani.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu tetapi kumpulan militan Daesh yang melakukan kebanyakan serangan pengebom bunuh diri di Afghanistan sejak kebelakangan ini, bergiat aktif di wilayah tersebut.
Jabatan Kesihatan Nangarhar mengesahkan jumlah mangsa yang terkorban itu.
Beratus-ratus penunjuk perasaan menyekat lebuh raya yang menghubungkan ibu negeri wilayah Nangarhar, Jalalabad dan sempadan Pakistan kerana membantah pelantikan seorang ketua polis tempatan apabila pengebom bunuh diri berkenaan bertindak meletupkan diri.
Salah seorang mangsa yang cedera, Zar Khan memberitahu agensi berita AFP bahawa dia melihat seorang pemuda keluar dari sebuah kereta dan berlari menuju ke arah penunjuk perasaan sambil menjerit ‘Tuhan Maha Besar’.
“Kemudian, letupan berlaku dan saya mendapati diri ini dikelilingi oleh cebisan daging dan darah manusia,” kata Khan dari katil hospitalnya.
Ia merupakan serangan paling dahsyat selepas kejadian sebuah ambulans sarat dengan bahan letupan diletupkan di sebatang jalan raya yang sesak di ibu negara Afghanistan, Kabul pada Januari lalu. Serangan itu membunuh lebih 100 orang, kebanyakannya orang awam, manakala kumpulan pemberontak Taliban mengaku bertanggungjawab. – AFP









