KUALA KANGSAR 11 Sept. – Kolej Komuniti Kuala Kangsar meneruskan kecemerlangan apabila muncul johan pada pertandingan MyCCSkills 2018 Bidang Pastri peringkat kebangsaan yang diadakan di Kolej Vokasional Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Kemenangan menerusi kategori umum itu membolehkan Kolej Komuniti Kuala Kangsar menewaskan kolej komuniti lain dalam bidang pastri iaitu Kolej Komuniti Ledang, Kolej Komuniti Lahad Datu, Kolej Komuniti Bayan Baru, Kolej Komuniti Jeli, Kolej Komuniti Selayang, Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Baling dan Kolej Vokasional Kuala Kangsar.
Pada pertandingan sama, Kolej Komuniti Sungai Petani menewaskan tiga buah kolej komuniti lain iaitu Kolej Komuniti Ledang, Kolej Komuniti Lahad Datu dan Kolej Komuniti Bayan Baru bagi kategori khas iaitu pelajar orang kurang upaya (OKU).
Majlis penutupan pertandingan itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohamad Isa Azhari di Dewan Teknorat Kolej Vokasional Kuala Kangsar.
Mohamad Isa dalam ucapannya berkata, Kementerian Pendidikan komited untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) sebagai pilihan utama pelajar untuk menyambung pengajian.
Katanya, kerajaan sememangnya berhasrat menerapkan pendidikan kemahiran secara holistik bagi pelajar lepasan sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sehingga ke peringkat pekerjaan.
“Dalam tempoh tersebut juga, telah berlaku beberapa perubahan khususnya berkaitan dengan pendidikan teknikal dan vokasional.
“Walaupun pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini telah bermula sejak awal tahun 1980-an namun tumpuan pada peringkat awal hanya pada pelajar yang tercicir dalam akademik arus perdana,” katanya.
Tambah beliau, walau bagaimanapun, setelah kerajaan melihat keperluan dan kepentingan TVET dalam proses pembentukan negara maju, maka aspek TVET ini diperkasakan sebagai aliran pendidikan bertaraf perdana.
Katanya, TVET merupakan laluan yang penting bagi negara seperti Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi dan mampu menghadapi saingan di peringkat global dan serantau serta sentiasa relevan dengan keperluan semasa.










