ALOR SETAR – Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Mohd. Rejab Md. Akhir, 59, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari ini.
Allahyarham Mohd. Rejab dirawat di HSB sejak tiga hari lalu selepas terjatuh ketika mahu memulakan usrah di Markas Pas di Jerlun dekat sini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, Pas negeri melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang banyak memberi sumbangan dalam perjuangan Islam dan parti.
“Pemergian Allahyarham bagaikan kehilangan sebutir mutiara yang amat berharga.
“Allahyarham bukan sahaja ilmuan Islam malah beliau juga menjadi penggerak kepada institusi pondok apabila dilantik menjadi Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah di samping mengetuai Dewan Ulama Pas Kedah hampir dua penggal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, Pas negeri mengucapkan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Madrasah Manabi’a Ulum Ad-Diniah di Jeram, Jitra dekat sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Gurindam pukul 6 petang ini. – K! ONLINE










