KUALA LUMPUR 24 SEPT. – Kerajaan tidak seharusnya mengambil tindakan drastik sehingga mahu menutup pusat tahfiz di Kepong sekiranya pengetua di pusat tersebut didapati bersalah meliwat sembilan pelajarnya.
Presiden Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmod berkata, kerajaan sebaliknya perlu mencari alternatif agar pusat tersebut terus beroperasi supaya pelajar dan pihak pengurusan dapat meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa.
“Walaupun pusat itu milik pengetua, kerajaan tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan untuk menutup pusat tahfiz tersebut, sebaliknya perlu mencari alternatif untuk memastikannya terus beroperasi.
“Siapa yang bersalah dan kenapa orang lain pula perlu menjadi mangsa? Selepas penutupan, kakitangan di pusat tahfiz akan hilang pekerjaan, manakala pelajar terpaksa mencari pusat tahfiz yang baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa memberitahu, kerajaan akan menutup pusat tahfiz tersebut sekiranya pengetua tersebut didapati bersalah meliwat pelajarnya.
Tambah Mohd. Zahid, kakitangan di pusat tahfiz membuat laporan polis untuk menyelamatkan pelajar, namun tidak adil sekiranya mereka pula bakal kehilangan pekerjaan.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan cadangan penutupan pusat tahfiz tersebut ibarat menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang tidak bersalah.
“Siapa yang bersalah dia yang seharusnya bertanggungjawab, jangan bebankan orang lain dengan dosa kita. Malah dalam al-Quran juga ada disebut dosa seseorang itu tidak akan dipikul oleh orang lain.
“Jadi kenapa perlu tutup pusat tahfiz tersebut, cari jalan penyelesaian jangan jadikan pelajar dan pihak pengurusan sebagai mangsa,” katanya.










