KOTA KINABALU – Dua lelaki cedera selepas kenderaan Proton Preve dinaiki mereka diheret sejauh 200 meter oleh sebuah kereta api di landasan kereta api berdekatan Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa Mohd. Amir Khairi Abdul Ghani, 20 dan Daniel Safuan Omar, 22, dipercayai cuba melintas landasan kereta api sebelum kenderaan yang mereka dirempuh dari bahagian kiri.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, 11 anggota bomba diketuai Ketua Operasi, Ngo Anak Avan ke lokasi kejadian.
“Pada pukul 1.18 petang, PGO telah menerima laporan mengenai kejadian kemalangan melibatkan sebuah Proton Preve dan kereta api di landasang berdekatan Jalan KKIA di sini.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian. Kedua-dua mangsa dikeluarkan dari kenderaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi yang turut melibatkan dua jentera itu tamat pada pukul 1.47 petang.
Tinjauan mendapati Proton Preve tersebut remuk pada bahagian penumpang hadapan. – K! ONLINE










