SEREMBAN 12 Sept. – Kerajaan negeri menerima keputusan Kerajaan Pusat menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selama dua tahun kerana kosnya yang tinggi.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, penangguhan projek itu sehingga 2020 telah mengambil kira semua faktor termasuk beban kewangan yang perlu ditanggung negara.
“Saya rasa penangguhan ini perlu demi kesejahteraan rakyat kerana projek HSR membabitkan belanja yang cukup tinggi dan kita tidak mahu kerajaan terbeban dengan masalah hutang.
“Kerajaan Pusat terpaksa memikirkan projek lain yang lebih utama dan sesuai dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
“Apa yang penting projek HSR tidak dibatalkan sebaliknya cuma ditangguhkan. Tempoh dua tahun tidak lama dan kita yakin ia akan tetap memberikan impak positif kepada kemajuan ekonomi negeri ini apabila dimulakan semula kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Negeri Sembilan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di sini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin; Setiausaha kerajaan negeri, Dr. Razali Ab. Malik; Pengarah Kemas negeri, Mohd. Ali Hanafiah Abu Hassan dan 620 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas.
Malaysia dan Singapura baru-baru ini mencapai persetujuan menangguhkan projek tersebut sehingga Mei 2020 ekoran kedudukan kewangan negara ketika ini.
Projek tersebut akan melibatkan pembinaan tujuh buah stesen dari negara jiran itu ke Kuala Lumpur termasuk salah satunya di Seremban.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau berharap rakyat negeri ini dapat memahami situasi sebenar terhadap langkah kerajaan menangguhkan projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu turut melahirkan rasa gembira kerana Port Dickson dipilih bagi penganjuran Hari Potensi Kemas peringkat kebangsaan November ini dan berjanji menyalurkan peruntukan serta sokongan bagi menjayakannya.









