Kekalkan Akta 803 - Utusan Malaysia

Kekalkan Akta 803

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) disaran memberi pertimbangan peluang kedua kepada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) bagi mengatasi masalah penyebaran dan penularan berita palsu dalam negara kita.

Ini susulan kegagalan usaha memansuhkan akta tersebut apabila ditolak oleh Dewan Negara baru–baru ini walaupun pemansuhannya diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Ogos lalu.

Usul pemansuhan akta itu telah ditolak oleh 28 senator pembangkang yang terdiri daripada wakil Barisan Nasional (BN) dan Pas manakala 21 senator Pakatan Harapan menyokong. Tiga senator berkecuali dan selebihnya tidak hadir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terma fake news, berita palsu atau tidak benar mula mendapat perhatian dunia selepas dipopularkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump. Biarpun tindakan penyebaran maklumat palsu bukan fenomena baharu, masyarakat global dilihat terpanggil untuk mengambil langkah tertentu bagi membendungnya.

Lebih–lebih lagi dengan kemunculan pelbagai jenis media sosial yang dilihat memudahkan penyebaran pelbagai jenis maklumat yang belum tentu kesahihannya.

Walaupun terdapat peruntukan undang–undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta saman sivil yang boleh digunakan bagi mengatasi penyebaran dan penularan berita palsu, namun kehadiran satu akta yang lebih khusus dan komprehensif bagi mengatasi isu terbabit dapat memberi satu peringatan yang keras kepada semua pihak.

Satu bentuk undang–undang yang lebih khusus juga dapat mengatasi segala kelemahan yang ada di dalam peruntukan perundangan sedia ada.

Dengan adanya akta khusus ini, rakyat dapat dilindungi daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar daripada mana–mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sekali gus, ini dapat menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara kita. Dengan penolakan Dewan Negara terhadap pemansuhan Akta 803, kerajaan disaran melihat dan menilai semula rang undang–undang terbabit, mencari kelemahan yang ada di dalamnya dan melakukan proses penambahbaikan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini