Jangan lagakan saya dengan Yang Dipertua Negeri P. Pinang - Mansor - Utusan Malaysia

Jangan lagakan saya dengan Yang Dipertua Negeri P. Pinang – Mansor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH 10 Sept. – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Dr. Mansor Othman mengingatkan pihak tertentu supaya tidak keterlaluan sehingga melaga-lagakan beliau dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Pengerusi PKR negeri berkenaan berkata, dakwaan yang tersebar kononnya beliau akan mengosongkan kerusi Parlimennya untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri adalah tidak benar.

Mengakui terkejut dengan perkara itu yang tersebar menerusi WhatApps hari ini, beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat dengan beliau oleh mana-mana pihak untuk mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenanginya.

“Semua itu tidak betul, malah saya difahamkan tempoh Tun Abdul Rahman memegang jawatan berkenaan masih berbaki dua tahun lagi, kita sokong penuh Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin di sini malam ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN