TUMPAT – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan akan terus turun padang ke beberapa kawasan pedalaman di negeri itu bagi memastikan perkhidmatan berkaitan dokumen pengenalan diri dapat dinikmati semua rakyat.
Pengarahnya, Asrehan Ab Razak berkata, antara lokasi yang bakal dikunjungi ialah kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman Kelantan yang didapati masih ramai tidak berdaftar sebagai warganegara.
“Ini adalah antara usaha JPN bagi memberi kemudahan kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan, warga emas, pesakit terlantar, orang kelainan upaya dan pesakit mental dapat menyelesaikan urusan berhubung dokumen pengenalan diri dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Kembara JPN Mobil bersempena Hari Pendaftaran Negara 2018 di Kampung Telok Renjuna di sini hari ini.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah permohonan dan penukaran MyKid, pembaharuan MyKad dan khidmat nasihat berhubung kepentingan dokumen pengenalan diri. – Bernama










