PORT DICKSON – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mendedahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ahli UMNO tiga hari lalu.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang itu berkata, beliau mahu bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson.
“Saya mungkin dipecat keahlian jika bertanding memandangkan UMNO memboikot PRK Port Dickson.
“Apabil serahkan surat peletakan jawatan dua (tiga) hari lalu, saya bukan lagi ahli UMNO dan tidak perlu bertanya sesiapa untuk bertanding,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol mengumumkan akan bertanding dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Mohd. Isa berkata, beliau yakin boleh menang dalam PRK tersebut dan yakin pengundi di Port Dickson akan menyokongnya.
Katanya, beliau telah berkhidmat di Port Dickson lebih 40 tahun dan masyarakat daerah ini tahu tentang perkhidmatannya selama ini.
“Saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada saya sesuai untuk menjadi Ahli Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pucuk pimpinan UMNO tidak pernah mendapatkan pandangan beliau tentang PRK itu atau calon yang layak diletakkan oleh parti berkenaan. – K! ONLINE











