KODIANG – Kementerian Pendidikan menganggap tanggungjawab membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajar dikaitkan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Menterinya, Maszlee Malik berkata, setiap pinjaman termasuk PTPTN perlu dilunaskan kerana ia dituntut di dalam Islam.
“Apa pun manifesto kata, kita dah pinjam duit (PTPTN), bayarlah.
“Ini soal akhlak dan moral, bayarlah walaupun dengan RM10 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh di sini hari ini.
Manifesto PH pada kempen pilihan raya umum lalu menyebut untuk menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 kebawah sebulan.
Sehubungan itu, Maszlee berkata, beliau menyeru peminjam PTPTN supaya membayar hutang tersebut.
“Saya serulah kepada semua bila pinjam (PTPTN) kita bayar,” katanya. – K! ONLINE











