Hazard akhiri permulaan sempurna Liverpool - Utusan Malaysia

Hazard akhiri permulaan sempurna Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 27 Sept. – Bintang Chelsea, Eden Hazard mengakhiri rekod 100 peratus Liverpool, musim ini, setelah skuad bimbingan Maurizio Sarri itu menikmati kemenangan 2-1 di Anfield dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga, hari ini.

Liverpool yang memulakan cabaran mereka dengan enam kemenangan dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan turut mengukir kejayaan pada Liga Juara-Juara, tersingkir daripada saingan Piala Liga, terima kasih kepada jaringan solo mengagumkan yang disempurnakan Hazard pada minit ke-85.

Daniel Sturridge meletakkan Liverpool di depan sebelum Emerson menyamakan kedudukan untuk Chelsea pada minit ke-79, selepas Simon Mignolet menolak keluar bola hasil tandukan Ross Barkley menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Hazard.

Penyerang antarabangsa Belgium itu yang di bawa masuk dari bangku simpanan pada minit ke-56, membantu Chelsea memenangi perlawanan tersebut menerusi tindakan penyudah mengagumkan selepas dia melakukan larian solo dari bahagian sayap dan berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan Liverpool untuk melepaskan rembatannya membolosi gawang Reds.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu sekali lagi di Stamford Bridge, Sabtu ini untuk perlawanan Liga Perdana pula.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, West Ham United membelasah kelab divisyen empat (Liga Dua) Macclesfield Town 8-0 dan Danny Welbeck menjaringkan dua gol bagi membantu Arsenal menewaskan pasukan dari Liga Kejuaraan, Brentford 3-1.

Tottenham turut meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya setelah mencipta kemenangan ke atas Watford melalui penentuan sepakan penalti 4-2, setelah skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu diikat dengan keputusan seri 2-2. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN