KUALA LUMPUR – Hampir 6,000 perwakilan UMNO bakal menghadiri Perhimpunan Agung (PAU) UMNO 2018 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 29 dan 30 September ini.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perhimpunan kali ini yang membawa slogan UMNO Sebuah Perjuangan itu akan memberi fokus untuk memperkasa parti di bawah pimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Presiden akan menyampaikan ucapan dasar buat julung-julung kalinya dan kita berhasrat agar keseluruhan tumpuan termasuk perbahasan serta usul akan bertumpu kepada ucapan tersebut.
“Kita berharap ia dapat dikupas serta diperdebat secara mendalam dan serius oleh ahli-ahli parti kerana ucapan tersebut mempunyai implikasi yang cukup besar dalam menentukan hala tuju UMNO pasca-Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini semalam.










