KUALA LUMPUR 26 Sept. – Anak sulung Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah, 60, iaitu Siti Syafrina, 32, mendedahkan bahawa bapanya buat pertama kali mengaturkan sambutan ulang tahun kelahiran yang jatuh pada hari ini.
Jelasnya yang mesra disapa sebagai Rina, sebelum ini sepanjang hayat arwah, komposer berkenaan langsung tidak pernah merancang untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.
“Tetapi kali ini, dia yang beriya-iya merencanakan segala-galanya sejak dari mula. Percutian kami sekeluarga empat beranak dengan seorang sepupu ke Batam juga dia yang aturkan.
“Kami hanya ikut sahaja perancangan yang dibuatnya. Jumaat lalu, sebaik tiba di hotel penginapan di Tanjung Pinang, kami berehat seketika sementara menunggu waktu makan malam.
“Bagaimanapun, arwah mengalami sesak nafas sebelum dibawa ke sebuah hospital yang terletak berhampiran hotel,” kongsinya menceritakan situasi sebenar.
Tambah Rina, selepas lima hari dirawat dan tidak sedarkan diri, doktor memberitahu keadaan Pak Ngah makin lemah disebabkan penyakit paru-parunya berair selain menghidapi komplikasi jantung.
“Sejak kebelakangan ini, arwah memang kerap mengadu sakit dada dan selepas beberapa ketika, dia kembali stabil. Arwah juga menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan Masjid Kampung Baru pada pukul 3.10 petang dan disambut penuh hiba kira-kira 500 ahli keluarga, sahabat handai, rakan artis, warga seni dan orang awam.
Usai disembahyangkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang dan akan disemadikan bersebelahan pusara kedua-dua ibu bapanya selepas solat Asar.
Adik Allahyarham, Norzita Mohd. Zain pula berkata, sebelum arwah ke Batam, dia berpesan kepada ahli keluarga di Kuala Lumpur terutama adik-beradiknya untuk menyambut kepulangannya sekali gus meraikan hari lahir di kediamannya di Setapak.
“Tetapi tak sangka kata-kata akhir itu membawa maksud menyambut kepulangan jenazahnya,” kata Norzita.
Antara selebriti yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Datuk Ramli MS, Datuk Nassier Wahab, Datuk M. Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Azmeer, Edrie Hashim, Syura Badron, Dr. Norzizi Zulkifli, Che Kem, Liza Abdullah, Salwa Abdul Rahman, Hazra Dollah dan Azizul Haqim. – UTUSAN ONLINE











