KUALA LUMPUR – Hajat komposer popular Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau dikenali sebagai Pak Ngah untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya ke-60 bersama ahli keluarga dan kenalan pada hari ini tidak kesampaian.
Menurut anaknya, Siti Nur Syafrina, 32, berbeza berbanding tahun sebelum ini, perancangan sambutan hari lahir sering dilakukan oleh keluarga.
Namun, tahun ini Allahyarham ingin membuat kelainan dengan merancang sendiri sambutan ulang tahun kelahirannya.
“Sebelum meninggal abah (nama panggilan bagi Allahyarham) tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu pun perubahan sikap. Keinginan Allahyarham itu secara tidak langsung membuatkan kami berasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan.
“Sebelum ini Allahyarham tidak pernah menguruskan hal itu kerana keluarga yang akan menyediakan segalanya. Tetapi sebaliknya ia berbeza kerana tahun ini segalanya Allahyarham ini uruskannya sendiri, ” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Jamek Kampung Baru di sini.
Mengulas lanjut, Syafrina memberitahu, Allahyarham mengadu sakit dada dan sesak nafas pada malam Jumaat lalu (21 September) ketika mereka sekeluarga bercuti di Tanjung Pinang, Indonesia.
Susulan daripada itu Allahyarham telah dibawa oleh anak lelakinya, Megat Mohd Syahraini ke Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Batam bagi mendapatkan rawatan.
Setelah lima hari mendapat rawatan, ahli keluarga kemudian merancang untuk membawa pulang Allahyarham ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ Tawakal, Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat penerbangan khas dari Indonesia ke Malaysia.
Bagaimanapun, penerbangan tersebut terpaksa berpatah balik ke Indonesia disebabkan Pak Ngah ketika itu berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.
“Abah sememangnya mengalami komplikasi jantung, kencing manis dan darah tinggi. Terbaharu, abah dikenalpasti mengalami paru-paru berair. Allahyarham kemudian, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sana,” ujar Syafrina.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di Indonesia manakala jenazah selamat tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor dari Batam kira-kira pukul 10.15 pagi dan tiba di Masjid Jamek Kampung Baru pukul 3.10 petang.
Lebih 500 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, selebriti dan peminat memberi penghormatan terakhir dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada pukul 5.20 petang bersebelahan dengan pusara kedua-dua ibu bapanya.
Selebriti yang hadir antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Datuk M.Nasir, Datuk Nassier Wahab, Zizie Zulkefli, Liza Abdullah, Syura, Wany Hasrita, Datuk Jalaluddin Hassan, Eddrie Hashim, Datuk Ramli MS dan ramai lagi. – K! ONLINE










