LONDON 29 Sept. – Jose Mourinho menerima tamparan hebat apabila dia sekali lagi terpaksa melihat Manchester United diaibkan apabila kalah 3-1 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London hari ini.
Itu merupakan kekalahan kedua berturut-turut yang terpaksa ditanggung oleh pengendali Red Devils apabila sebelum ini mereka dimalukan oleh kelab kerdil Liga Kejuaraan England, Derby County apabila tewas 8-7 menerusi penentuan penalti sekali gus tersingkir pada pusingan ketiga Piala Kejuaraan England (EFL), Rabu lalu.
United yang terdesak mencari kemenangan terlebih dahulu dikejutkan oleh tuan rumah seawal minit kelima menerusi percubaan Felipe Anderson gerakan cantik daripada Pablo Zabaleta.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Red Devils merencana strategi dan mereka hampir menyamakan kedudukan bagaimanapun tandukan Romelu Lukaku pada minit ke-23 terkena palang.
West Ham dilihat menguasai sebahagian besar permainan dan tekanan yang diberikan oleh anak-anak buah Manuel Pellegrini membuahkan hasil apabila pertahanan Manchester United, Victor Lindelof melakukan kesilapan sehingga tertampan bola masuk ke dalam gawang tiga minit sebelum rehat.
United cuba mencari gol untuk merapatkan defisit gol bagaimanapun rembatan Marouane Fellaini pada minit ke-53 gagal menemui sasaran.
Begitu pun, selepas melakukan asakan bertubi-tubi terhadap gawang West Ham akhirnya United berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Marcus Rashford pada minit ke-71 selepas menerima bantuan daripada Luke Shaw.
Bagaimanapun, semangat United untuk menamatkan perlawanan dengan sekurang-kurangnya berkongsi satu mata musnah selepas Marko Arnautovic meledak gol ketiga West Ham hanya selang tiga minit kemudian. – AGENSI










