PUTRAJAYA 27 Sept.- Kontrak Lim Teong Kim selaku Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ketua jurulatih bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan dinilai semula selepas skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara gagal layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan untuk menilai semula kontrak itu dibuat bukan berdasarkan kegagalan skuad B-16 negara semata-mata tetapi disebabkan gaji Teong Kim yang terlalu tinggi iaitu mencecah RM175,000 sebulan selain tidak dikenakan cukai.
Syed Saddiq berkata, mesyuarat jawatankuasa teknikal yang membabitkan kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membincangkan hala tuju NFDP selepas ini dan hasil perbincangan akan dibentang pada 15 Oktober depan termasuk mengenai status sama ada diletak di bawah FAM atau tidak.
“Saya dimaklumkan pakej gaji Teong Kim mencecah sehingga RM175,000 sebulan yang dibiayai oleh MSN. Saya rasa kita mesti nilai semula kontrak dan dalam masa sama beliau juga perlu mengambil tangungjawab atas kegagalan untuk capai KPI (petunjuk prestasi utama) yang telah beliau sendiri tetapkan iaitu layak ke Piala Dunia B-17 2019.
“Jawatankuasa yang ditubuhkan akan bincang penstrukturan semula NFDP tetapi kita tidak boleh pukul rata dan hentikan program ini kerana ia program yang baik dan telah distruktur untuk bangunkan program bola sepak di peringkat akar umbi, selain telah membelanjakan puluhan juta ringgit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Impian Malaysia untuk layak ke Piala Dunia B-17 lebur selepas tumbang 0-2 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil. – UTUSAN ONLINE











