KUANTAN – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh kesal dengan kenyataan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang mahu had umur minimum perkahwinan diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki atas alasan anak-anak sekarang terdedah kepada seks lebih awal.
Beliau berkata, perkahwinan bukan sahaja berkisar tentang soal seks semata-mata, namun ia juga berkait dengan soal tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pasangan yang mendirikan rumah tangga tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, sesebuah perkahwinan memerlukan persediaan mental dan fizikal selain keupayaan kewangan untuk membolehkan pasangan tersebut mengharungi cabaran yang mendatang dalam alam perkahwinan.
“Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada tahun 2011 ada menyebut bahawa perkahwinan bawah umur mendatangkan lebih banyak mudharat dari kebaikan.
“Sekiranya berlaku gejala sosial di mana remaja terdedah kepada tingkah laku seks luar nikah di peringkat umur yg muda, maka masalah itu harus dipersoal kpd institusi agama dan keberkesanan program dakwah mereka. – Bernama











