FGV perlu pelan pemulihan bersistematik - Utusan Malaysia

FGV perlu pelan pemulihan bersistematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Sept. – FGV Holdings Bhd memerlukan pendekatan sistematik sebagai sebahagian pelan pemulihan dan melaksanakannya melalui keupayaan mereka dan cara bagaimana organisasi itu distruktur, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor.

MEGAT ZAHARUDDIN MEGAT MOHD NOR
MEGAT ZAHARUDDIN MEGAT MOHD NOR 

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat khas media di sini, hari ini, beliau percaya syarikat perladangan itu yang dimiliki sebanyak 33.7 peratus oleh Felda, mampu untuk dipu­lihkan dan memberi manfaat kepada pemegang saham serta syarikat dalam masa enam ke 12 bulan akan datang.

“Saya sudah melihat perancangan lima tahun mereka dan apa yang akan mereka lakukan, pelan strategik mereka, dan saya sudah memberikan maklum balas.

“Secara asasnya saya fikir, kita boleh memperbaiki perniagaan syarikat tetapi apa yang penting adalah untuk FGV memberikan keutamaan kepada isu terkini mereka,” katanya sebagai maklum balas terhadap apa yang berlaku di dalam syarikat berkenaan baru-baru ini.

FGV baru-baru ini mengumukan peletakan jawatan Datuk Zakaria Arshad sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berke­naan berkata, dengan peletakan jawatan itu, penggantungan yang diumumkan sebelumnya berakhir.

Meskipun begitu, siasatan forensik akan diteruskan dan dijangka diselesaikan menje­lang hujung tahun, kata syarikat itu.

Megat Zaharuddin juga berkata, Felda menjangka FGV menyumbang RM400 juta kepada agensi itu melalui perjanjian pajakan tanah, keuntungan dan dividen.

“Ia seharusnya lebih tinggi. Bagaimanapun kita tahu ia juga bergantung kepada produktiviti syarikat, selain harga minyak sawit dan hasil tandan buah segar,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN