KUALA LUMPUR – Bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman iaitu Mohd. Farish Hussain yang ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes rakaman video bawah skirt wanita di sebuah premis cermin mata di kompleks beli-belah Solaris Dutamas, di sini dibebaskan dengan jaminan polis.
Mohd. Farish, 47, dibebaskan pada pukul 10 malam pada hari yang sama dia ditahan di sebuah restoran di kompleks beli-belah Publika Solaris, di ibu kota kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, pihak polis telah mengambil keterangan daripadanya kira-kira sembilan jam sebelum membebaskannya dengan jaminan polis.
“Keterangannya diambil bagi tujuan melengkapkan siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita pada Jumaat lalu.
“Keperluan untuk mendakwanya adalah bergantung kepada hasil siasatan yang masih dijalankan,” katanya semalam.










