IPOH 22 Sept. – Tiga pingat emas yang diraih pemanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias membolehkan mereka dinobat Atlet Terbaik Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang ditutup secara rasmi, hari ini.
Biarpun cemerlang meraih tiga emas, satu perak dan satu rekod kebangsaan, Eugenius, 17, mengakui, dinobat sebagai Olahragawan Sukma 2018 adalah kejayaan tidak diduga.
“Wow..saya sungguh terkejut mendapat tahu saya dinobat sebagai Olahragawan Sukma 2018. Jujurnya saya tidak jangka untuk meraih anugerah ini kerana saya menikmati setiap acara dan beraksi tanpa tekanan.
“Kejayaan ini didedikasikan kepada semua yang memberi sokongan sepanjang penglibatan saya dalam memanah iaitu keluarga, jurulatih, pasukan Sabah dan rakan-rakan.
“Saya mula berjinak dengan sukan memanah ketika usia 12 tahun selepas diperkenalkan oleh bapa saudara, Gabriel Liew dan saya mula serius pada umur 15 tahun,” katanya.
Tiga emas yang diraih Eugenius adalah dalam acara 70 meter compound individu, yang menyaksikan dia turut memecah rekod temasya dengan catatan 349 mata.
Dia kemudian memenangi emas 50m compound individu dan memadam rekod temasya (351), selain emas 30m compound individu dengan menyamai rekod kebangsaan milik M. Khambeswaran dari Pulau Pinang (360 mata).
Sementara itu, bintang olahraga Terengganu, Azreen Nabila menganggap pulang bersama anugerah Olahragawati adalah pencapaian luar biasa.
“Memang tidak sangka akan dinobat sebagai olahragawati kerana atlet gimrama Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh meraih lima emas dan saya fikir dia adalah pesaing terkuat.
“Kejayaan ini saya tujukan kepada ibu bapa saya terutama Allahyarham bapa saya, Alias Che Ngah kerana dia tidak sempat melihat kejayaan ini,” katanya.
Atlet berusia 18 tahun itu dinobat sebagai Olahragawati selepas mengungguli acara 100 dan 200m, selain membantu Terengganu menjuarai saingan 4x100m.
Azreen Nabilla turut cemerlang memecah rekod temasya berusia 10 tahun temasya dalam acara 100m dengan catatan masa 11.81 saat.










