Endometriosis dan kanser merupakan antara penyakit yang boleh menjejaskan kehamilan, bukan sahaja pada janin, bahkan kepada ibu itu sendiri.
Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr. R. Mohan berkata, endometriosis berlaku apabila uterus atau rahim yang dilitupi lapisan tisu dipanggil endometrium, tumbuh di luar rahim, biasanya pada ovari dan tiub fallopian.
Dalam kes yang jarang-jarang berlaku, tisu ini juga boleh tumbuh pada usus kecil, dubur atau pundi kencing.
“Setiap bulan lapisan uterus ini dikeluarkan melalui faraj yang dinamakan haid. Namun, darah daripada tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim tidak mempunyai tempat untuk keluar menyebabkan pertumbuhan sista, calar dan tisu parut serta kawasan di sekelilingnya menjadi tebal.
“Sesetengah wanita tidak merasai sebarang ketidakselesaan atau mungkin berasa sedikit tidak selesa akibat endometriosis, tetapi ada antara mereka yang mengalami kesakitan teruk sebelum atau semasa kitaran haid,” katanya.
Beliau berkata, antara simptom endometriosis seperti sakit pelvis dan senggugut yang teruk, sakit ketika melakukan hubungan kelamin, sukar hamil, sakit semasa ovulasi, darah haid keluar banyak dan tidak normal.
Selain itu, sakit ketika membuang air besar, cirit-birit, sembelit atau masalah usus lain ketika datang haid, sakit apabila membuang air kecil atau terlalu kerap membuang air kecil semasa datang haid serta keadaan tubuh yang lesu.
Menurut Dr. Mohan, endometriosis boleh menyebabkan tiub fallopian tersumbat dan merosakkan ovari. Ia dikatakan punca bagi ketidaksuburan terhadap tiga peratus pasangan, dan merupakan satu daripada masalah tiub yang menyebabkan ketidaksuburan terhadap kira-kira 17 peratus pasangan.
Bagaimanapun, bukti menunjukkan walaupun tahap endometriosis adalah serius, wanita tersebut masih mempunyai peluang untuk hamil secara semula jadi dan bergantung kepada sejauh mana penyakit itu telah menjejaskan organ-organ pembiakannya.
“Sekiranya telah didiagnos dengan endometriosis dan mempunyai kesukaran untuk mengandung, jangan berlengah untuk mendapatkan bantuan.
“Jika telah mencuba lebih daripada enam bulan secara semula jadi dan tidak boleh mengandung, dinasihatkan juga untuk berjumpa dengan doktor,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan rawatan barah turut mempunyai kesan kepada sistem reproduktif dalam pelbagai cara, bagaimanapun tidak semua pesakit berhadapan masalah kesuburan selepas menerima rawatan.
Kemajuan teknologi membolehkan rawatan kanser mencapai peningkatan kadar penyembuhan yang ketara termasuk jangka hayat lelaki dan wanita.
Bagaimanapun, rawatan onkologi yang sering digunakan mempunyai gonadotoksis yang akan memberi kesan negatif kepada sistem reproduktif pesakit.
“Masalah kesuburan akibat kanser dan rawatannya akan berlaku dalam dua cara utama iaitu melalui kerosakan pada kelenjar endokrin atau organ berkaitan dengan endokrin.
“Ini termasuk testis, tiroid, dan kelenjar adrenal yang berfungsi merangsang hormon akil baligh serta mengawal kesuburan dan perubahan di bahagian otak yang mengawal sistem endokrin.
“Masalah kesuburan mungkin disebabkan oleh kerosakan, penurunan pengeluaran sperma dan air mani atau ketidakupayaan untuk menghasilkan air mani,” katanya.
Dr. Mohan menambah, kemoterapi dan terapi radiasi boleh membunuh sel sperma dan sel stem yang menghasilkan sperma, yang boleh menjejaskan kesuburan.
Antaranya, terapi radiasi ke seluruh badan untuk pemindahan sumsum tulang, terapi radiasi di bahagian tengah badan disasarkan ke arah perut, pelvis, tulang belakang dan buah zakar selain terapi radiasi kepada kelenjar pituitari otak.
Pembedahan membuang organ juga boleh menjejaskan kesuburan pasangan lelaki iaitu sama ada akibat pembedahan prostat pundi kencing satu testis atau kedua-dua testis, pembedahan membuang kelenjar pelvik, pembedahan menyingkirkan organ yang diperlukan untuk hamil seperti histerektomi dan ovari bagi wanita.
Pilihan teknologi untuk hamil
Kemajuan dalam dunia perubatan membuatkan kini terdapat pelbagai teknologi dalam membantu masalah ketidaksuburan.
Oleh itu, Dr. R. Mohan nasihatkan semua pasangan tidak berputus asa dengan mendapatkan nasihat daripada doktor agar kesihatan sentiasa berada pada tahap optimum bagi mendapatkan zuriat sendiri.
“Bagi pesakit kanser, saya menyarankan mereka berbincang dengan doktor mengenai risiko kesuburan dan pilihan memelihara kesuburan sebelum rawatan kanser bermula.
Beliau memberitahu, untuk mendapatkan zuriat sendiri, pasangan boleh menggunakan prosedur melibatkan pembekuan dan penyimpanan air mani, yang dilakukan sebelum sesuatu kaedah rawatan bermula.
Ini kerana mungkin terdapat risiko kerosakan genetik yang lebih tinggi kepada sperma yang terkumpul ketika rawatan onkologi.
Terdapat juga pilihan yang lain seperti Intrauterine Insemination (IUI) dan In Vitro Fertilization ( (IVF).
Menerusi kaedah IVF, telur wanita dan sperma yang dibekukan di dalam tempat penyimpanan khas di makmal. Kemudian, embrio diletakkan di dalam badan wanita untuk terus berkembang menjadi janin.
“Penyimpanan sperma adalah pilihan untuk kebanyakan lelaki selepas akil baligh setelah rawatan kanser dilakukan.
“Seorang lelaki boleh menjadi ayah walaupun mempunyai sperma yang sedikit. Ini boleh dilakukan melalui prosedur yang disebut injeksi spesis intracytoplasmic (ICSI).
“Semasa ICSI, sperma disuntik terus ke dalam telur yang diperoleh semasa IVF.
“Bagi pembekuan tisu testicular biarpun penyelidik masih mengkaji prosedur ini, ia perlu dilakukan sebelum rawatan kanser. Prosedur ini melibatkan pembuangan, pembekuan dan penyimpanan tisu testicular. Tisu ini mengandungi sel stem yang kemudian menjadi sperma.
“Bagi pilihan terhadap pasangan wanita, pembekuan telur meliputi proses pengambilan telur yang dilakukan oleh pakar kesuburan sebelum rawatan kanser bermula,” katanya.










