Dulu mangsa buli, kini jurutera berjaya - Utusan Malaysia

Dulu mangsa buli, kini jurutera berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Seorang bekas pelajar sekolah tahfiz yang pernah menjadi mangsa buli secara mental telah mendorong Khairul Hafizuddeen Abdul Aziz untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) di sini semalam.

Menurut anak jati Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu, dia mengambil keputusan untuk belajar sendiri di rumah ketika berada di tingkatan tiga di sebuah pusat tahfiz selepas dipulau oleh rakan-rakan dan mengakui dia juga mempunyai sikap yang buruk.

Bagaimanapun, dia berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah rendah (PMR) dan 8A untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akhirnya membolehkan dirinya diterima melanjutkan pelajaran ke Universiti Mansoura, Mesir dalam bidang Sains Kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika di Mesir sekali lagi saya berdepan dengan cabaran apabila telah gagal dalam dua semester dan hampir berputus asa ditambah pula keadaan Mesir pada masa itu tidak selamat berikutan perang saudara.

“Waktu itu saya mendapat sokongan daripada ayah dan ibu termasuk isteri saya yang pada ketika itu merupakan kawan yang banyak memberikan dorongan malah ketika hampir berputus asa saya bakal kecundang dalam peperiksaan saya menerima khabar telah berjaya namun waktu itu saya sudah dalam perjalanan pulang ke Malaysia,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut daripada Canselor Universiti Multimedia, Tun Zaki Azmi sambil disaksikan oleh Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq di Dewan Tun Canselor di sini.

Cerita Khairul Hafizuddeen, selepas pulang ke tanah air dia tidak tahu apa yang ingin dilakukan sehinggalah mendapat dorongan daripada ayahnya, Abdul Aziz Mohd. Nor, 56, yang merupakan Juruaudit Teknologi Maklumat di MBSB Bank supaya meneruskan pengajian ke Universiti Multimedia dalam bidang teknologi maklumat.

Dia yang merupakan anak bongsu daripada 3 adik beradik itu kemudian mengambil keputusan untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat yang mengkhusus dalam keselamatan teknologi di kampus Melaka sehinggalah berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.81.

Khairul Hafizuddeen yang mampu menhafaz 15 juzuk al-Quran kini bukan sahaja bekerja sebagai jurutera keselamatan sepenuh masa dengan LE Global Sdn. Bhd. malah turut mengusahakan sendiri perniagaan dalam talian dengan menggunakan jenama PowerHerbs. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini