BATU PAHAT – Seorang pesara guru kerugian RM317,500 apabila menjadi mangsa kepada sindiket Macau Scam selepas mengeluarkan wang simpanannya dan kemudian mendepositkan wang tersebut ke akaun pihak yang tidak dikenali pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan K. S. Mender Singh berkata, wanita berumur 60 tahun itu ditipu setelah menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 10.30 pagi yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah.
Beliau berkata, panggilan berkenaan kemudian disambung kepada pihak polis bagi meyakinkan mangsa bahawa dia mempunyai kesalahan yang perlu tindakan segera untuk diselesaikan.
“Suspek menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dan dalam masa yang sama, kad kredit terbabit digunakan oleh individu lain untuk melakukan jenayah.
“Mangsa terkejut apabila dia disyaki terlibat sama dengan urusan pengedaran dadah dan kad kredit terbabit juga terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” kata beliau menerusi satu kenyataan semalam.










