Dua sahabat dituduh lakukan tiga rompakan termasuk dobi layan diri - Utusan Malaysia

Dua sahabat dituduh lakukan tiga rompakan termasuk dobi layan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang di sebuah dobi layan diri dan dua lagi lokasi di sini pada 10 dan 11 September lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulfikar Nazriq Mohd. Zahir, 21, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kudung kaki kanan mengaku bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Rakannya, Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang bersama seorang lagi individu yang masih bebas ke atas Nur Elyani Musa, 37, melibatkan seutas gelang emas, dua bentuk cincin emas, seutas rantai leher emas, telefon bimbit jenis Oppo serta barangan lain seperti kunci kereta, kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank.

Perbuatan itu dilakukan dua lelaki tersebut di kedai dobi Village Laundry di Bandar Puteri Jaya di sini kira-kira pukul 7 pagi, 11 September lalu.

Mereka juga dituduh melakukan kesalahan sama ke atas Mohammad Khairul Ikhwan Mohd. Zaini, 17, melibatkan wang tunai sebanyak RM1,500 milik kedai runcit 24 jam Nine Six Two Seven Mart di Nombor 156, Jalan Kelab Cinta Sayang, Taman Ria di sini; masing-masing dua unit telefon bimbit jenis Samsung dan Neffos serta satu unit telefon bimbit jenis Oppo, beg silang dan pengecas mudah alih atau power bank.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di kedai runcit berkenaan kira-kira pukul 7.15 pagi, hari yang sama.

Dua tertuduh tersebut turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan membabitkan jenayah sama yang dilakukan ke atas Siti Norazizah Mohd. Salim, 23, membabitkan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 6 Plus di hadapan Pasaraya C-Mart Sungai Petani di sini kira-kira pukul 7.15 pagi, 10 September lalu.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini