SHAH ALAM 19 Sept. – Tindakan dua buah premis menjual pelbagai jenis arak termasuk jenis Mandalay dan Kingfisher sejak enam bulan terbongkar apabila lokasi tersebut diserbu dalam dua serbuan Op Methanol di Taman Sri Muda malam tadi.
Turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah dua pekerja masing-masing warga tempatan dan Myanmar berusia 28 dan 31 tahun.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam itu berjaya merampas sebanyak 1,019 tin dan 392 botol dianggarkan berjumlah RM15,000.
“Operasi ini diadakan susulan kes sekumpulan individu yang maut selepas meminum arak haram. Berdasarkan siasatan awal, arak berkenaan dijual pada kadar harga RM6 hingga RM8 bagi tin serta RM20 bagi botol.
“Kesemua arak ini dijual di kawasan bangunan rumah kedai sejak enam bulan lalu. Antara arak yang dirampas termasuk jenama Mandalay, Kingfisher, Club 99, Hollander, Classe Royale dan Atlas,” katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.
Tambah Baharudin, kesemua sampel arak itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui kandungan arak itu berbahaya atau tidak.
“Kita juga mendapat perintah tahanan reman terhadap seorang suspek warga tempatan selama tiga hari bermula hari ini manakala warga Myanmar ditahan selama dua minggu bermula hari ini mengikut Akta Imigresen.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











