KUCHING – Dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai petugas Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (SESCO) direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berhubung penipuan bayaran denda bagi kesalahan mengubah suai meter elektrik.
Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 40 dan 46 tahun itu direman sehingga 22 September depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.
Berdasarkan fakta kes, susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa penipuan itu, kedua-dua lelaki terbabit telah ditahan pada pukul 3.30 petang semalam.
Sebelum itu, kedua-dua suspek yang menyamar sebagai petugas SESCO telah datang ke rumah pengadu di Batu Tiga, Jalan Penrissen di sini dan mendakwa meter eletrik di rumahnya telah diubahsuai dan boleh didenda sebanyak RM80,000.
Kedua-dua suspek kemudian meminta pengadu membayar sebanyak RM20,000 bagi menyelesaikan kes tersebut.
Bimbang jika disabitkan kesalahan itu, pengadu kemudian bersetuju membayar RM15,000 kepada kedua-dua suspek.
Bagaimanapun, selepas melakukan semakan dengan pihak SESCO, pengadu kemudian dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan tidak pernah melantik mana-mana wakil bagi mengutip bayaran denda untuk kesalahan mengubah suai meter elektrik.
Apabila menyedari telah ditipu kedua-dua suspek, pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE











