Dua koperal polis didakwa terima rasuah RM1,800 - Utusan Malaysia

Dua koperal polis didakwa terima rasuah RM1,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Dua anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai RM1,800 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Wan Nooruzhafizam Wan Mohd. Noor, 37, dan Koperal Abd. Samad Ahmad, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara serentak di hadapan Hakim S. Indra Nehru. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai daripada Muhamad Saifulriezzuan Samsudin sebanyak RM1,800.

Suapan tersebut diperoleh oleh kedua-dua tertuduh yang bertugas di Bahagian Risikan Operasi Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar sebagai dorongan untuk tidak mengganggu kawasan penjualan ketum milik lelaki itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuala Kangsar iaitu di dalam kereta di Pekan Kuala Kangsar, di bawah pokok berhampiran Arena Square dan di tepi jalan besar di Kampung Bendang Kering pada 3 September, 6 dan 15 Oktober 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), R. Kumuthambal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K. Nahtan.

Indra Nehru kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada SPRM.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN