BERLIN 27 Sept. – Pemain remaja, Achraf Hakimi menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Borussia Dortmund yang membelasah Nuremberg 7-0, hari ini, dan sekali gus memberikan persaingan sengit dengan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich.
Hakimi, 19, yang dipinjamkan dari Real Madrid menjaringkan gol ketiga Dortmund bagi memastikan kemenangan mutlak ke atas Nuremberg dan merapatkan jurang kepada dua mata di belakang Bayern.
Jacob Bruun Larsen meletakkan Dortmund di depan pada awal permainan, setelah penyerang Denmark itu menerima hantaran Christian Pulisic sebelum menyumbat bola melepasi penjaga gol Nuremberg, Fabian Bredlow.
Dengan Dortmund yang selesa mendominasi pertemuan itu, turut menyaksikan Marco Reus menggandakan jaringan pada minit ke-32, hasil rembatan jarak jauh yang gagal ditangkap kemas Bredlow.
Detik untuk Hakimi hanya hadir selepas rehat babak pertama, apabila dia memanfaatkan serangan balas Dortmund dengan melepaskan sepakan kencang ke pintu gol lawan.
Reus menambah derita Nuremberg selang beberapa minit, dan Manuel Akanji menjaringkan gol pertamanya dalam Bundesliga sebelum digantikan dengan Jadon Sancho, manakala Julian Weigl menyempurnakan kemenangan besar Dortmund dengan gol ketujuh pada minit ke-88.
“Kami meletakkan tekanan ke atas lawan sejak minit pertama permainan lagi dan dalam masa sama, benteng pertahanan kami juga melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kami telah memanfaatkan semua peluang yang kami miliki.
“Ia satu perasaan yang hebat apabila dapat menjaringkan gol pertama untuk kelab,” kata Akanji kepada rangkaian televisyen rasmi kelab. – AFP










