KUANTAN – Seorang doktor wanita berusia 50 tahun di sini kerugian RM71,000 selepas diperdaya dua individu melalui panggilan telefon.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa terlebih dahulu dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai sebuah bank.
“Mangsa dimaklumkan kononnya ada tunggakan pinjaman selama tiga bulan yang dibuat atas namanya. Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum talian telefon disambung kepada seorang lelaki.
“Lelaki itu mengaku anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan memaklumkan konon mangsa sedang disiasat kerana terlibat kes penggubahan wang haram dan dadah,” kata Mohd. Wazir.
Tambah beliau lagi, mangsa
kemudian digertak konon akaunnya akan dibekukan dan diminta memindahkan wang ke dalam dua akaun bank milik dua lelaki.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada pemanggil telefon yang tidak dikenali,” katanya. – K! ONLINE











