SHAH ALAM 27 Sept. – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun Sehingga 50 Peratus bersempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen tersebut bertujuan memberi peluang kepada orang kena kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun yang dikenakan pihaknya sebelum ini.
“Pelaksanaan kempen pengurangan kompaun ini akan bermula dari 1 sehingga 31 Oktober ini dengan menawarkan sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan. Kempen yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.
“Antara kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007,” katanya di sini, hari ini.
Shahrin berkata, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007 juga diberi pengurangan sama.
Beliau memberitahu, selain itu, kompaun tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.
“Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, MBSA juga menyediakan perkhidmatan pejabat bergerak Shah Alam On Wheel yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih dalam kawasan pentadbiran MBSA.
“Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam serta pejabat-pejabat cawangan di Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam,” ujarnya.
Shahrin menambah, bagi kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan kaunter Bank Rakyat.
Selain itu, saluran bayaran JomPay juga diperkenalkan untuk memudahkan OKK sama untuk membuat bayaran yang mana mereka hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran. – UTUSAN ONLINE











