Cubaan seludup rokok putih tumpas - Utusan Malaysia

Cubaan seludup rokok putih tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 18 Sept. – Cubaan beberapa lelaki untuk menyeludup rokok putih bernilai RM278,800 ke negara jiran berjaya ditum­paskan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, kelmarin.

Rampasan di pangkalan ha­ram Badang itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi oleh sepasukan anggota hasil maklumat Unit Risikan Marin.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, sejurus menerima maklumat itu, satu serbuan dilakukan di lokasi terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dapati beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam dua perahu yang berada di tebing.

“Menyedari kehadiran anggota PPM, sekumpulan lelaki tersebut bertindak meloloskan diri ke Thailand menggunakan bot galah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Rudzuan berkata, ha­sil pemeriksaan lanjut menemui 2,050 karton rokok putih yang cuba diseludup masuk ke negara jiran.

Katanya, kesemua rokok tersebut bersama van dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. Kita akan terus memperketatkan rondaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bermula Kuala Takbai sehingga ke Kubang Pak Itam,” katanya.

Menurutnya, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sama sekali tidak berkompromi de­ngan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini