Cubaan lelaki bujang seludup ganja Thailand ke Malaysia gagal - Utusan Malaysia

Cubaan lelaki bujang seludup ganja Thailand ke Malaysia gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Cubaan seorang lelaki bujang tempatan berusia 26 tahun untuk menyeludup 54 ketulan mampat ganja seberat 54 kilogram (kg) dari Thailand untuk pasaran negara ini gagal apabila dicekup Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis malam semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Aksem, Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek itu ditahan anggotanya semasa melakukan pemeriksaan rutin di KM9.9 Wang Kelian, Kaki Bukit di sini kira-kira pukul 10.30 malam.

“Suspek cuba mengaburi kesalahan yang cuba dilakukan dengan menggunakan sebuah kereta mewah Audi A4 berwarna kelabu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, semasa pemeriksaan dilakukan, dia ternyata resah dan berada dibawah pengaruh dadah iaitu syabu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu mendapati suspek menyembunyikan ketulan ganja yang berharga kira-kira RM135,000 itu di bahagian tempat duduk penumpang belakang yang telah di ubah suai.

“Lebih licik 54kg ketulan mampat ganja yang dibalut dengan plastik lut sinar itu hanya boleh diambil dengan menggunakan alat kawalan jauh khas kerana ditutup dengan kusyen tempat duduk belakang kenderaan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar hari ini.

Turut hadir Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali.

Harga sebuah kereta Audi A4 itu kira-kira RM234,130.

Difahamkan, harga pasaran tempatan bagi sekilogram ganja sekitar RM2,500.

Utara Thailand, Myanmar dan Laos merupakan kawasan segi tiga emas bagi pengeluaran dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa.

Kenderaan suspek dari Thailand menuju negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Megat Mohamad Aminuddin berkata, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Padang Besar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini