Calon Bebas PRK Port Dickson mahu bawa politik baharu - Utusan Malaysia

Calon Bebas PRK Port Dickson mahu bawa politik baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Bakal calon Bebas yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong, 51, berazam untuk membawa nilai politik baharu di negara ini.

Beliau yang tinggal di Segambut, Kuala Lumpur berkata, rakyat Malaysia menolak politik lama iaitu keangkuhan, kesombongan, nepotisme dan sikap lebih mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.

“Saya ingin mewakili rakyat dalam menolak politik lama ini. Saya percaya dan ingin menjadikan Malaysia lebih progresif, bebas daripada rasuah dan mendukung visi Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama).

“Saya berhasrat untuk menjadi suara bebas di Parlimen yang mewakili kepentingan umum
rakyat. Bebas daripada keperluan berpolitik, kepentingan khas dan sifat menjauhi kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Setakat ini, beliau merupakan satu-satunya calon Bebas yang mengumumkan hasrat untuk mencabar bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persaingan merebut kerusi Parlimen tersebut.

Keng Leong seterusnya mengemukakan nilai-nilai yang bakal beliau ketengahkan jika dipilih menjadi Ahli Parlimen Port Dickson seperti berikut: 

– Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dipertahankan oleh semua.

– Negara ini adalah demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi.

– Hak Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi.

– Orang miskin, terpinggir dan kurang bernasib tanpa mengira kaum atau agama harus
dilindungi dan dibantu.

– Pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk meningkatkan mobiliti sosial penduduk dan harus ke arah pendidikan percuma.

– Tunjang asas masa depan Malaysia yang makmur ialah keharmonian dan keamanan.

– Rasuah adalah akar kemerosotan bangsa dan mesti ditangani dengan pantas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN