Calon Bebas PRK Port Dickson mahu bawa nilai politik baharu - Utusan Malaysia

Calon Bebas PRK Port Dickson mahu bawa nilai politik baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 Sept. – Bakal calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong, 51, berazam untuk membawa nilai politik baharu di negara ini.

STEVIE CHAN KENG LEONG
STEVIE CHAN KENG LEONG 

Katanya, beliau bertanding dalam PRK itu bagi mewakili rakyat Malaysia yang menolak politik lama iaitu keangkuhan, kesombongan, nepotisme dan sikap pemimpin yang mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.

Katanya, beliau percaya dengan Malaysia yang progresif, bebas rasuah dan mendukung visi Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dalam mewujudkan negara demokratik yang berdaulat berasaskan prinsip kebebasan dan keadilan selain mengutamakan kebahagiaan rakyat.

“Saya berhasrat menjadi suara bebas di Parlimen yang mewakili kepentingan umum rakyat. Bebas daripada keperluan berpolitik, kepentingan khas dan sifat menjauhi kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keng Leong setakat ini merupakan satu-satunya calon Bebas yang mengumumkan hasrat bertanding dalam PRK pada 13 Oktober ini.

Sementara itu, beliau turut menggariskan nilai-nilai yang ingin diketengahkannya kepada pengundi di Port Dickson iaitu;

* Perlembagaan Persekutuan dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak

* Malaysia adalah negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi

* Hak Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi

* Orang miskin, terpinggir dan kurang bernasib tanpa mengira kaum atau agama harus dilindungi dan dibantu

* Pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk meningkatkan mobiliti sosial penduduk dan harus ke arah pendidikan percuma

* Tunjang asas masa depan Malaysia yang makmur ialah keharmonian dan keamanan

* Rasuah adalah akar kemerosotan bangsa dan mesti ditangani dengan pantas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN