SEREMBAN – Sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap dalam alat ganti kereta dalam satu kejadian di Taman Permai 7 dekat sini, petang tadi.
Anak kucing tersebut ditemui salah seorang penghuni di kawasan perumahan tersebut kira-kira pukul 3 petang berikutan terdengar teriakan haiwan itu sejak pagi tadi dan segera menghubungi bomba.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md. Munawir Md. Yusoff berkata, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada pukul 3.10 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, kami mendapati bahagian leher anak kucing tersangkut pada alat ganti kereta.
“Kerja-kerja menyelamat mengambil masa tiga minit menggunakan alatan khas. Proses tersebut dilakukan secara berhati-hati kerana anak kucing itu agresif selain untuk mengelak kecederaan pada haiwan berkenaan,” katanya. – K! ONLINE











